LFC banteras jualan tiket haram: Lebih 1,000 dikenakan larangan seumur hidup ke Anfield

Lebih 45,000 akaun tiket palsu ditutup, LFC siasat 10,000 lagi akaun seumpamanya


26 September 2025, Jumaat

Liverpool Football Club meneruskan usaha membanteras semua bentuk penjualan tiket haram, sama ada dalam talian mahupun di lapangan, bagi melindungi peminat sebenar daripada ditipu atau ditindas.

Musim lalu, kelab telah mengeluarkan rekod 1,114 larangan seumur hidup, hampir separuh daripadanya dikenakan selepas penemuan manipulasi besar-besaran melalui perisian, suatu peningkatan besar berbanding 75 larangan seumur hidup pada musim 2023-24.

Majoriti larangan seumur hidup dan penggantungan tanpa had dikenakan kerana penjualan tidak sah tiket musim, keahlian atau tiket hospitaliti, yang melanggar terma dan syarat kelab. Ini mencerminkan pendekatan toleransi sifar terhadap semua bentuk penjualan tiket haram.

Penyiasat kelab juga telah menutup 162 kumpulan media sosial – dengan jumlah keahlian melebihi satu juta pengguna – yang terlibat dalam penjualan tiket palsu yang tidak pernah wujud atau penjualan semula tiket tulen pada kadar yang melampau.

Kelab turut mengambil tindakan tegas dengan menutup 45,000 akaun tiket palsu, dan kini sedang menyiasat 10,000 akaun lagi.

Ini menunjukkan penurunan positif yang ketara berbanding hampir 100,000 akaun palsu yang dicipta dan ditutup pada musim 2023-24, hasil daripada beberapa langkah pencegahan baharu yang diperkenalkan musim lalu termasuklah Pengesahan Multi-Faktor, Daftar Masuk Tunggal dan penggunaan alat analisis penipuan yang lebih maju.

Lebih banyak sumber juga telah digerakkan di lapangan sepanjang musim 2024-25, mengakibatkan hampir 500 orang dinafikan akses ke Anfield kerana cuba memasuki stadium menggunakan telefon pakai buang.

Sementara itu, hampir 400 pemeriksaan khusus turut dijalankan pada hari perlawanan, menghalang akaun dengan aktiviti mencurigakan daripada melepasi pintu masuk.

Liverpool Football Club akan terus mengambil tindakan tegas musim ini dengan meningkatkan sumber untuk menumpaskan mereka yang terlibat dalam kegiatan penjualan tiket haram. Penyokong harus sedar bahawa jika mereka memiliki tiket yang tidak dihantar mengikut terma dan syarat kelab, atau berada di dalam Anfield tanpa tiket sah, mereka akan dihalau keluar oleh pengawal keselamatan atau pihak polis.

Kelab mengendalikan proses sekatan rasmi, di mana pegawai kelab bersama seorang wakil daripada persatuan penyokong bebas akan mendengar kes dan menentukan tindakan yang sesuai, termasuk larangan seumur hidup dan penggantungan tanpa had.

Penyokong diingatkan agar tidak membeli tiket daripada saluran dalam talian tidak rasmi atau penjual tidak sah, kerana semakin banyak cara licik dan terancang untuk menipu atau menindas peminat sedang dikesan. Lebih 90% tiket yang disenaraikan di laman tidak rasmi sama ada tidak wujud atau merupakan tiket haram yang telah dijual berulang kali.

Sehubungan itu, kelab ingin menegaskan semula tempat rasmi di mana peminat boleh membeli tiket Anfield bagi menjamin kesahihannya.

Semua tiket kemasukan umum hanya boleh dibeli daripada Liverpool FC. Untuk maklumat lanjut, klik di sini. LFC juga menjual hospitaliti rasmi terus kepada penyokong di sini.

Rakan rasmi pakej perlawanan kelab – dan sub-agen mereka, yang disenaraikan di laman web masing-masing, adalah satu-satunya tempat lain yang menjamin pembelian tiket hospitaliti rasmi LFC.

Klik di sini untuk senarai rakan rasmi pakej perlawanan LFC dan kawasan hospitaliti yang mereka sediakan tiket rasmi.

LFC membekalkan ejen-ejen ini dengan tiket hospitaliti tulen, dan pakej ini dijual bersama perjalanan dan/atau sekurang-kurangnya satu malam penginapan hotel.

Peminat boleh melaporkan penjualan tiket tidak rasmi atau tiket palsu kepada LFC di sini – dan kepada Action Fraud di sini. Maklumat lanjut mengenai proses sekatan rasmi LFC boleh diperoleh di sini.


Nota Pengarang: Ahli-ahli All Reds yang berminat merasai pengalaman menonton perlawanan bola LFC di Stadium Anfield, boleh berhubung dengan Jawatankuasa Kelab bagi mendapatkan tiket yang sah.