ALL REDS MALAYSIA Anjur Program Kesedaran Kanak-Kanak Istimewa di Zoo Johor, 8 November 2025

Perbincangan awal antara ALL REDS MALAYSIA (ARM) dan pihak Zoo Johor membuka jalan kepada penganjuran program kemasyarakatan “ALL REDS MALAYSIA Special Kids Awareness @ Zoo Johor 2025” yang dijadual berlangsung pada 8 November 2025.

Program ini bertujuan meraikan serta memberi pendedahan sosial kepada kira-kira 50 kanak-kanak istimewa dari sekitar Johor Bahru, merangkumi pelbagai kategori seperti Autisme, Sindrom Down, Disleksia, Cerebral Palsy serta anak-anak kelainan upaya (OKU) pendengaran, bisu dan penglihatan.

Acara tersebut bukan sahaja akan melibatkan kanak-kanak dan keluarga mereka, malah dijangka menghimpunkan 300 hingga 500 orang peserta termasuk sukarelawan, agensi kerajaan dan rakan strategik dari sektor swasta. Antara agensi yang dijangka turut serta adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seramai 50 ahli ARM akan bertugas sebagai sukarelawan untuk membantu kelancaran program, meliputi urusan pendaftaran, pengangkutan, serta persediaan acara. Kesemua ahli ARM dari seluruh negara dijemput menyertai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini.

Kerjasama awal dengan pihak Zoo Johor dilihat sangat positif. Antara yang hadir dalam perjumpaan perbincangan pada 12 September 2025 ialah En. Mohd Amirul Azmi (Pengurus Zoo Johor) dan Puan Alisya Ishak (Zoologis),

ARM pula diwakili En Wan Zamarudin Mohd Yusof (Timbalan Presiden ARM), Puan Norhidayu Mohd Toha (Setiausaha ARM)
En. Abdullah Rasul (Ketua ARM Southern), dan En Syafiq Hasanudin (Ahli Jawatankuasa ARM Southern).

Menurut Wan Zamarudin, program ini diharap dapat memperkukuh peranan masyarakat dalam meraikan kanak-kanak istimewa sekaligus meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian keupayaan mereka.

“Acara ini juga terbuka kepada semua ahli ARM di seluruh negara yang berminat menyertai CSR. Anda yang berminat bolehlah berhubung dengan Puan Norhidayu, Setiausaha ARM untuk pengesahan kehadiran,” kata beliau.