Kelab Sukan All Reds DIBUBARKAN?

Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 Kelab Sukan All Reds pada 30 Ogos 2025, gempar apabila Presiden, Sdr Muzili Aznor Musa membentangkan usul pembubaran kelab!

Suasana di dalam dewan ketika itu serta-merta menjadi senyap. Ahli-ahli berpandangan sesama sendiri di sekeliling meja-meja. Baharu sahaja meluluskan laporan tahunan ke-11, secara mendadak pula diusulkan bubar?

Menerangkan lebih terperinci, Sdr Muzili menyatakan terdapat tiga pilihan:

  1. Kelab bubar, ditubuhkan semula sebagai persatuan di bawah Pendaftar Pertubuhan.
  2. Tubuh persatuan, tidak payah bubar kelab yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Sukan Negeri Kedah
  3. Kekal status quo sebagai kelab di bawah Suruhanjaya Sukan

Isu yang dihadapi:

  1. Alamat surat menyurat di Kedah adalah tidak lagi berfungsi. Ahli di sana pun tidak lagi aktif dan difahamkan pemilik rumah juga enggan melayan kedatangan surat berkaitan kelab. Keadaan ini mengakibatkan komunikasi pihak berkuasa dengan kelab jadi tidak wujud. Dan setelah dihubungi secara telefon, baharu diketahui banyak surat pihak berkuasa telah dihantar tetapi kita tidak tahu.
  2. Usaha paling logik ialah menukar alamat dari Kedah ke Kuala Lumpur. Namun ketika awal perbincangan isu ini, ia dibantah oleh beberapa pengasas atas dasar sentimental.
  3. Disebabkan hal No.2 ini, maka timbullah Cadangan No.2 di atas iaitu tubuhkan persatuan, tidak payah bubar kelab yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Sukan Negeri Kedah
  4. Tetapi ia hanya akan atas dasar sentimental semata-mata kerana bagaimana hendak meneruskan urusan rasmi jika surat menyurat dengan Pesuruhjaya Sukan Kedah pun tidak dapat dilangsungkan?
  5. Maka Cadangan No.1 ialah bubarkan kelab sukan yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Sukan Kedah, dan daftar semula sebagai persatuan.

Sebenarnya:

  1. Langkah di atas diusulkan bukan hendak memadamkan sejarah pengasas kelab, tetapi lebih kepada usaha mengemaskan tadbir urus kelab terutama dalam komunikasi dengan pihak berkuasa demi menentusahkan keberadaan kelab sebagai organisasi yang sah di sisi undang-undang.
  2. Proses pertukaran ini tidak menjejaskan :
    a. Status kelab sebagai entiti penyokong diiktiraf secara rasmi oleh LFC
    b. Status ahli termasuk No. Keahlian
    c. Status Kerjasama dengan al-Ikhsan dan adidas

Sementara itu, Timbalan Presiden ARM, Sdr Wan Zamarudin Mohd Yusof menjelaskan, ketika kelab ini diasaskan kira-kira 13 tahun lalu, antara syarat utama LFC untuk mengiktiraf sebagai kelab penyokong rasmi ialah menggembleng Kumpulan-kumpulan berserakan di seluruh negara menjadi satu entiti.

Usaha tersebut diketuai oleh Allahyarham Mohamed Muazafar Mustapha @Apai @Shankly List dan pasukan pengasas ketika itu menemukan satu persatuan bolasepak di Sungai Petani yang masih `hidup’ sahlaku pendaftarannya tetapi dormant.

Langkah segera ketika itu ialah mensenyawakan pendaftarannya dan diadakan suatu AGM bagi menukar nama, dan seterusnya memperoleh kelulusan daripada pejabat Pesuruhjaya Sukan Kedah.

Dengan kelulusan itu, pasukan pengasas mengemukakan permohonan perakuan sebagai kelab penyokong rasmi LFC daripada kelab induk di Anfield.

Menurut Wan Zamarudin, masa berlalu kini ahli di Sg Petani tidak lagi aktif dalam berpersatuan dan hakikat alamat surat menyurat sudah gagal dihubungi, mendesak ARM sekarang untuk menukar ke alamat dan status yang sewajarnya iaitu menjadi persatuan beralamat di Kuala Lumpur.

Ketetapan mesyuarat:

Ahli-ahli yang menghadiri mesyuarat AGM ke-12 sebulat suara memberi mandat kepada barisan Exco kelab untuk menguruskan perkara pertukaran status ini, dengan tempoh masa AGM seterusnya pada 2027.