Merah di hati, Putih Lawa, Hijau Menawan – Jersi LFC adidas 2025/26

Buat pertama kali dalam 13 tahun, adidas dan Liverpool FC dengan bangganya mempersembahkan Jersi Home dan Away baharu kelab untuk musim 2025/26.

Pernah bekerjasama melalui beberapa era paling ikonik Liverpool dari 1985-1996 dan sekali lagi dari 2006-2012, tiga garis adidas kini kembali untuk menyediakan pemain dan peminat dengan teknologi prestasi terkini serta pakaian gaya hidup untuk musim ini.

Dilancarkan pada 1 Ogos 2025 ialah Jersi Home Liverpool FC baharu yang menampilkan DNA kelab dalam bentuk paling tulen, dengan rona merah strawberi gelap sebagai asas jersi dan tiga garis adidas berwarna putih di bahagian lengan.

Lambang klasik Liver Bird terpampang di dada, manakala kolar leher bulat yang kemas memberikan siluet moden dan atletik, dengan kemasan rib khas pada hujung lengan bagi melengkapkan estetik keseluruhan yang sesuai dengan legasi LFC.

Jersi ini akan dipadankan dengan seluar pendek merah dan stoking merah, dengan stoking menampilkan tiga garis adidas di bahagian atas dan tanda ‘LFC’ di atas logo adidas pada tulang kering.

Jersi Away pula hadir dalam warna yang sinonim dengan jersi away LFC pada masa lalu, dengan asas krim putih pudar dan perincian hitam serta merah. Untuk lambang, Liver Bird diletakkan di dalam perisai, dengan bentuk perisai diinspirasikan daripada Main Stand di stadium asal Anfield tahun 1906, yang diolah semula untuk menyerupai bentuk tempat duduk tersebut.

Jersi Away disediakan dengan dua pilihan seluar dan stoking: pertama, seluar pendek hitam dengan stoking krim putih pudar, dan kedua, seluar pendek krim putih pudar dengan stoking hitam.

Dihasilkan untuk prestasi dan membantu pemain bertaraf dunia beraksi penuh keyakinan di bawah tekanan, jersi ringan ini menampilkan teknologi terkini adidas. Versi padang dibina menggunakan bahan maju untuk memaksimumkan aliran udara supaya pemain kekal sejuk, manakala versi peminat menggunakan bahan penyerap peluh untuk memastikan badan kekal kering.

Sam Handy, Pengurus Besar adidas Football, berkata: “Kembalinya adidas ke Liverpool FC adalah satu detik yang bersejarah bagi kami. Melihat tiga garis ikonik kami menghiasi jersi Liverpool FC sekali lagi adalah sesuatu yang sangat kami banggakan. Jersi Home ini benar-benar mencerminkan DNA Liverpool – bergaya dan ringkas, manakala Jersi Away memberi penghormatan kepada sejarah kaya kelab dengan lambang unik yang diinspirasikan daripada stadium asal Anfield. Saya mewakili semua di adidas apabila saya katakan ini hanyalah permulaan sebuah perjalanan yang luar biasa dan kami sangat teruja untuk apa yang bakal tiba.”

Ben Latty, Ketua Pegawai Komersial LFC, berkata: “Ini lebih daripada sekadar pelancaran jersi baharu – ia menandakan permulaan hubungan 10 tahun antara LFC dan adidas. Sejak mengumumkan perkongsian ini pada bulan Mac, telah wujud rasa jangkaan dan keterujaan yang besar. Koleksi pertama ini menetapkan nada untuk musim-musim akan datang.”

Turut hadir bersama jersi Home dan Away ialah Jersi Pra-Perlawanan, jaket bola sepak Z.N.E. Anthem dan kasut klasik adidas Samba. Jersi Pra-Perlawanan diinspirasikan daripada Shankly Gates ikonik di luar stadium Anfield, dengan asas hitam yang dihiasi corak pagar merah gelap yang rumit. Jaket bola sepak Z.N.E. Anthem diperbuat daripada fabrik knit berganda yang lembut dan dilengkapi dengan hud luas yang menampilkan tanda ‘YNWA’ sebagai penghormatan kepada slogan terkenal Liverpool. Kasut LFC Samba khas ini menampilkan bahagian atas kulit putih, tiga garis merah dan lambang LFC di lidah kasut. Ia dilengkapkan dengan tanda ‘YNWA’ berwarna emas di sisi kasut.

Bagi meraikan pelancaran jersi baharu ini, adidas dan Liverpool FC telah mengeluarkan sebuah filem bertajuk ‘Your Dream. Our Reality’. Filem ini mengisahkan pertemuan seorang gadis muda dengan jersi Liverpool baharu, yang membawanya melalui sebuah perjalanan yang mengaburkan batas antara fantasi dan realiti. Perjalanan itu membawanya dari jamuan makan malam impian bersama ikon masa lalu dan kini seperti Ian Rush dan Mohamed Salah, kepada penghasilan semula iklan adidas Gerrard dan Alonso yang ikonik bersama pemain pasukan lelaki dan wanita semasa, dan lawatan kejayaan trofi LFC bersama Sir Kenny Dalglish, sebelum berakhir di padang Anfield dalam satu adegan klimaks.

Filem pelancaran ini disokong dengan imej pemain dan produk yang diinspirasikan daripada adegan jamuan makan malam impian, ditambah video lanjutan khas dan fotografi di belakang tabir, yang akan diterbitkan di saluran Kelab, adidas dan pemain.

Seiring dengan penyatuan semula dua legenda global ini, adidas Malaysia mengadakan sebuah pop-up dari 4-10 Ogos di Pavilion Kuala Lumpur, Level 3 Connection (antara Arabica dan Quivo) yang didedikasikan kepada Liverpool FC dan warisan kaya kelab tersebut. Peminat boleh menantikan:

  • The Champions Wall: menonjolkan kejayaan Liverpool FC dengan memaparkan deretan trofi paling bersejarah kelab sepanjang tahun.
  • Liverpool Jersey Display: memberikan peluang melihat lebih dekat jersi home dan away adidas x Liverpool FC yang serba baharu.
  • Letter to the Players: dalam usaha khas untuk memperingati penyatuan semula ini, adidas Malaysia akan mengumpulkan mesej tulisan tangan peminat kepada pemain untuk dihantar terus ke Anfield, membawa kasih sayang peminat tempatan terus ke hati pemain kegemaran mereka.

Versi padang jersi ini dijual pada harga RM549, manakala versi peminat berharga RM329 – kedua-duanya boleh dibeli bermula hari ini di kedai adidas terpilih, dalam talian di https://www.adidas.com.my/en/liverpool dan rakan peruncit utama. – AllReds.my