Kelab Sukan All Reds Anjur Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 & 12 serta Pertandingan Futsal pada 30 Ogos 2025 di Shah Alam
Kelab Sukan All Reds mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali Ke-11 Tahun 2024 bagi sesi 2023/2025 dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-12 Tahun 2025 bagi sesi 2025/2027 di Space U8 Mall, Shah Alam.
Majlis ini bermula dengan aktiviti sukan apabila satu perlawanan futsal 5 sebelah diadakan pada sebelah pagi bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari di gelanggang futsal indoor Space U8.
Aktiviti tradisi sempena AGM ini bertujuan mengeratkan silaturahim antara ahli kelab sambil memupuk semangat kesukanan.
Mesyuarat rasmi dimulakan pada jam 2 petang untuk Mesyuarat Agung Kali Ke-11 yang menutup tirai sesi 2023/2025. Seterusnya, pada jam 3.30 petang, berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-12 bagi melantik barisan kepimpinan baharu untuk sesi 2025/2027.
Pihak urusetia memaklumkan bahawa kehadiran ahli telah didaftarkan melalui pautan khas bagi melancarkan perjalanan mesyuarat. Kehadiran dan penglibatan aktif para ahli amat dihargai kerana ia memberi impak positif terhadap kelangsungan kelab.
Presiden All Reds Malaysia, Muzili Aznor Musa berkata, penglibatan semua ahli dalam mesyuarat ini bukan sahaja penting dari sudut pentadbiran, malah menyuntik semangat baharu dalam memastikan Kelab Sukan All Reds terus berkembang.
Dengan penglibatan yang memberangsangkan, AGM kali ini bukan sahaja mencapai objektif formal malah berjaya mewujudkan suasana penuh semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli kelab.


