All Reds Malaysia Meriahkan Acara Tontonan Akhir Piala EFL Carabao
KUALA LUMPUR 24 Februari 2025 – Kelab penyokong rasmi Liverpool FC di Malaysia, All Reds Malaysia (ARM) dengan sokongan Standard Chartered Bank menyediakan tarikan istimewa buat para penyokong yang hadir ke acara tontonan siaran langsung Perlawanan Akhir Piala EFL Carabao antara Liverpool FC menentang Chelsea pada 25 Februari 2024.
Acara berkenaan akan berlangsung di VIOBA Café, Kuala Lumpur, dengan lebih 200 penyokong sudah mengesahkan kehadiran sejak dua minggu lalu. Sepak mula dijadualkan jam 11 malam Ahad ini.

Setiap ahli berdaftar berpeluang merebut hadiah cabutan bertuah tajaan Standard Chartered Bank termasuk sepasang jersi ditandatangani pemain lengkap dengan sijil ketulenan, serta tiga beg kasut rasmi LFC.
Sumbangan hadiah telah disampaikan oleh Ketua Jenama, Penajaan dan Kemampanan Standard Chartered Bank, Mastura Adnan kepada wakil Exco ARM, Johardy Ibrahim dalam satu majlis ringkas di ibu pejabat bank berkenaan, Khamis lalu.

Presiden ARM, Muzili Aznor Musa, berkata pihaknya amat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh Standard Chartered Bank terhadap aktiviti kelab sejak sekian lama.
“Standard Chartered Bank benar-benar memainkan peranannya bukan sahaja sebagai penaja global Liverpool FC, malah turut menyokong kelab penyokong seperti ARM. Hal ini cukup dekat di hati ahli kami,” katanya.
Mengulas mengenai venue, beliau berkata ARM memilih bekerjasama dengan VIOBA Café bagi memastikan lokasi lebih selesa dan mudah diakses oleh ahli.
Muzili turut menambah bahawa ARM bercadang menganjurkan lagi acara tontonan bersama sekiranya Liverpool mara ke perlawanan akhir Europa League dan Piala FA.
“Insya-Allah jika LFC berjaya layak, kita akan usahakan acara tontonan siaran langsung khusus untuk ahli ARM,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua barisan Exco yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.


